Lelaki itu,
Mundar mandir tiada berhala tuju,
Resah Akal diam membisu,
Jiwa kacau
Ibarat kerasukan hantu
Lelaki itu,
Berkeluh kesah kaku terkedu,
Tatkala melihat rakyat bersatu
Keluar menuntut suara mereka yang pernah bisu
Tuntutan mereka hanya satu
Demokrasi tidak lagi ditipu
Lantas dia bersilat berpencak
Langkahnya sumbang tiada berentak,
Sangkanya kuasa miliknya mutlak
Dengan hati yang galak
Diatur balaci turun menggasak.
Maka bermulalah episod sebuah celaka,
Suara rakyat dituduh derhaka,
Hanya kerana ia mengundang petaka
Kepada tirani pengkhianat pusaka!
Warna itu mencetus fobia,
Ditokok dengan pelbagai cerita
Konon komunisme yang kita puja
Demi memperbodoh marhaen jelata
Maka berserulah sekalian balaci,
Yang tunduk taat ibarat abdi;
Memberi amaran agar berhenti
Jika kau bersuara kau mesti mati!
Namun marhaen tidak peduli,
Tidak dipinta lelaki itu turun kerusi;
Atau meminta dia mencari pengganti,
Bukan itu hajat dihati,
Hanya satu suara kami:BERSIHkan kembali Demokrasi!
by Mohammad Faeez Harith
No comments:
Post a Comment